Neurosains: Ingatan

016-brain-working-memory-stimulation_600

Oleh: Iltizam Iman

 

Ingatan, adalah satu faktor penting dalam kehidupan manusia. Bukan saja manusia, binatang juga menggunakan ingatan untuk terus hidup. Teknologi seperti telefon pintar dan komputer juga memerlukan cip ingatan untuk berfungsi sempurna. Bagi manusia, ingatan adalah suatu kemampuan yang membenarkan dirinya untuk menentukan identiti, argumen, kenalan, kemampuan, dan penting untuk berhadapan dengan kebaikan atau marabahaya. Plato suatu ketika dahulu membandingkan ingatan ini seperti tablet lilin yang kosong sewaktu lahir dan perlahan-lahan mencetak kejadian-kejadian yang berlaku dalam kehidupan. hanya beberapa ratus tahun lepas, ahli psikologi menemukan teknik yang lebih objektif untuk mengkaji bagaimana manusia mengumpul data berkaitan perkara yang telah lepas. Yang jelas, ianya lebih kompleks dari apa yang digambarkan oleh Plato 4000 tahun lepas.

Terdapat beberapa bahagian penting yang boleh dikategorikan melalui ingatan, ingatan bukanlah berfungsi secara tunggal. Saintis memberikan 3 cabang utama dalam ingatan iaitu, pertamanya ingatan deria, ingatan jangka pendek, dan ketiga adalah ingatan jangka panjang. Pecahan kategori ini membolehkan kita membezakan bagaimana otak memproses informasi serta berapa lama ia bertahan di ruang kesedaran supaya boleh diakses oleh fikiran.

 

Ingatan Deria

Ingatan deria adalah informasi yang dicerap oleh kelima-lima deria manusia. “ingatan ikonik” merujuk kepada visual, menjelaskan bagaimana kita dapat melukis lingkaran penuh di udara menggunakan bunga api atau laser. Kajian pertama dilakukan oleh Johann Segner, pada kurun ke-18, di mana beliau melakukan pemerhatian terhadap bara arang yang membentuk cahaya yang tak terputus apabila dipusingkan dalam kelajuan yang tinggi. Sebelum pemerhatiannya dilakukan penyiasatan terperinci dan sistematik oleh psikologis US George Sperling 200 tahun selepas pemerhatian Johann Segner. “Ingatan echoic” merujuk kepada bunyi yang dicerap telinga, memberikan kesan terhadap otak untuk beberapa saat setelah mendengar. Ingatan echoic adalah faktor yang kuat dalam proses pembelajaran bercakap untuk kanak-kanak. Berkemungkinan besar kanak-kanak yang lambat bercakap mempunyai ingatan echoic yang terjejas.

Ingatan deria adalah aktiviti elektrikal yang mendiami sebentar di bahagian otak yang mengawal kerja deria dan persepsi, iaitu prefrontal cortex di bahagian dahi kepala. Selalunya hanya bertahan untuk beberapa saat, apabila aktiviti elektrikal ini berhenti maka ingatan deria juga hilang. Seperti ilusi lingkaran cahaya laser, apabila lingkaran itu hilang menandakan aktiviti elektrik yang mendiami prefrontal cortex sudah berhenti. Sewaktu aktiviti itu belum berhenti, ianya memberikan representasi yang terperinci terhadap seluruh pengalaman “merasa”. Yang mana setiap perincian informasi boleh diekstrak ke dalam memori jangka pendek dan diproses menerusi ingatan bekerja (working memory). Kerana itu juga kita dapat menemukan teknik hipnosis dan terapi melalui ilusi visual dan bunyi, menjelaskan bagaimana memori deria dapat memberi kesan terhadap fungsi kognitif.

 

Ingatan Jangka Pendek dan Ingatan Bekerja

Ingatan jangka pendek adalah ingatan yang digunakan untuk memproses informasi yang memerlukan tindak balas yang pantas. Seperti mengingati nombor telefon restoran, senarai barang yang perlu dibeli, dsb. Ingatan jangka pendek ini mampu menyimpan informasi kira-kira 15 – 20 saat, dapat menyimpan lebih kurang 7 perkara dalam satu masa. Proses pengulangan dapat memperkuat dan memanjangkan lagi tempoh ingatan.

Jika diambil nombor telefon Malaysia sebagai contoh, 9 – 10 angka yang perlu diingat bukanlah banyak, tetapi untuk mengingatnya dalam waktu yang singkat juga bukanlah perkara yang mudah. Untuk membuatkan proses mengingat lebih berkesan maka selalunya ia dikategorikan kepada 3 kumpulan: pertamanya kod rangkaian telco (012), seterusnya kumpulan 3 angka (780) dan terakhir kumpulan 4 angka (4453).

Ingatan jangka-pendek menyimpan informasi verbal dan informasi visual di kawasan yang berlainan. Ingatan jangka pendek bagi informasi verbal disimpan dalam bentuk akustik atau secara fonologi. Kerana itu penggunaan ayat yang beritma lagi mudah diingati berbanding penggunaan ayat yang tidak beritma. Jika sesebuah ayat atau kata itu mempunyai bunyi yang lebih kurang sama, maka akan lebih mudah bagi otak untuk menangkap dan memberikan perhatian terhadap informasi tersebut.

Ingatan jangka pendek  ini juga mempunyai hubung kait yang rapat dengan ingatan-bekerja. kedua-dua jenis ingatan ini sering dicampuradukkan, walaupun keduanya sangat berlainan. Ingatan jangka pendek merujuk kepada kemampuan untuk menyimpan informasi secara pasif, yang digunakan untuk mengingati perkara yang baru sahaja terjadi. Ingatan-bekerja pula merujuk kepada proses aktif yang melibatkan proses memanipulasi informasi pasif yang disimpan dalam ingatan jangka-pendek. Ingatan jangka-pendek membolehkan kita mengingati kembali apa yang baru saja didengar, dan ingatan-bekerja membolehkan kita menyebutkannya terbalik ke belakang dan memilih antara salah satu perkataan.

 

Ingatan Jangka-panjang

Ingatan jangka-panjang adalah informasi yang berjaya dihantar ke ruang penyimpanan otak jangka-panjang, yang mana mampu berkekalan untuk bertahun atau berdekad. Tarikh lahir, tempat berkahwin, nama ibu bapa dan adik beradik, ataupun kejadian dan tragedi yang jarang dihadapi.

Perbezaan antara ingatan jangka-pendek dengan jangka-pandang, ingatan jangka-pendek disimpan dalam bentuk akustik yang mana kita mengingati ia seperti mana ia, manakala ingatan jangka-panjang kita menyimpan informasi sebagaimana maknanya. Jika kita cuba mengingati kembali sesuatu yang telah diperkatakan kepada kita, mungkin kita sukar untuk menyatakan sebaris ayat yang tepat, tetapi kita dapat menggambarkan maknanya dengan mudah. Tetapi, ingatan jangka-panjang ini mudah terdedah kepada kesilapan.

Ingatan jangka-panjang menggunakan beberapa bentuk ingatan yang berlainan. Pertama, ingatan eksplisit atau juga dipanggil ingatan deklaratif. Ingatan yang dapat dinyatakan secara sedar. Yang kedua, ingatan tak-deklaratif. Ingatan yang berfungsi secara tidak sedar atau separa-sedar. Di bawah ingatan eksplisit atau ingatan deklaratif, terdapat dua bahagian atau dua cara otak mengingati informasi bagi jangka-panjang secara sedar. Pertama, ingatan semantik. Kedua, ingatan episodik. Di bawah ingatan implisit atau tak-deklaratif pula, terdapat dua kategori iaitu ingatan-meruap (priming memory) dan ingatan prosedural (procedural memory). Bentuk-bentuk ingatan ini membezakan bagaimana otak dapat menyimpan informasi untuk tempoh yang lama melalui cara yang berlainan.

Ingatan semantik merujuk kepada pengetahuan fakta, seperti Kuala Lumpur adalah pusat kepada negara Malaysia, walaupun kita tidak pasti di mana kita menerima informasi ini, atau bila kita mengetahui perkara ini. sama juga halnya dengan kita mengetahui air sejuk tidak boleh dicampurkan dengan air panas di dalam gelas kaca yang mana akan membuatkan gelas itu pecah. Kita mengetahui hal ini, walaupun tidak pernah menguji kebenarannya, walaupun tidak ingat bila pertama kali kita mendengarkannya.

Ingatan episodik merujuk kepada kejadian-kejadian penting, unik, atau tragedi dalam episod kehidupan kita. Contohnya hari graduasi tamat persekolahan atau unversiti. Atau saat pertama kali kita mengenal pasangan buah hati. Atau juga hari kita mengalami kemalangan jalan raya. Mungkin ramai di antara kita masih ingat kita berada di mana dan apa yang kita lakukan sewaktu pengumuman kekalahan UMNO pada PRU-14.

Maka, mengingati sesuatu kejadian dan butir-butir informasi dengan terperinci secara sedar dirujuk sebagai ingatan eksplisit, secara semantik ataupun episodik. Manakala ingatan implisit adalah ingatan jangka-panjang yang terbentuk tanpa sedar. Ingatan prosedural terbentuk melalui kerja yang berulangan. Membantu kerja-kerja skil motorik seperti menulis, menaip, bermain alat muzik, atau mengendalikan mesin. Ianya juga merujuk kepada informasi yang memberi kesan terhadap perlakuan tanpa kita sedar yang kita telah dipengaruhi oleh butir-butir informasi tersebut.

Contoh lain bagi ingatan prosedural, keinginan untuk makan ayam goreng sebagai makan malam, tanpa menyedari bahawa kita telah melalui sebuah kedai ayam goreng pada sebelah paginya. Walaupun kita tidak ingat yang kita telah melalui kedai ayam goreng tersebut pada sebelah pagi, tetapi ianya telah memberi kesan secara separa-sedar terhadap fikiran, perasaan, dan perlakuan kita di malam hari. Kerana itu syarikat-syarikat besar makanan segera seperti KFC dan McDonald sanggup melabur ratusan ribu ringgit bagi memenuhi ruangan iklan di tepi-tepi jalan, kaca television, radio, dan surat khabar. Ini kerana bukanlah tujuannya untuk menyebarkan informasi tentang produk mereka kepada pelanggan secara sedar, tetapi bekerja secara langsung dengan ingatan prosedural agar fikiran, perasaan, dan perlakuan masyarakat secara separa-sedar untuk menjadi pelanggan mereka.

Ingatan meruap merupakan informasi yang merangsang informasi lain. Sebagai contoh, bila saya sebutkan perkataan “bunga raya”, beberapa informasi berlainan bergabung sebagai satu informasi di dalam fikiran anda. Informasi pertama, bentuk lima kelopak bunga raya yang mempunyai helaian bulu di tengahnya. Kedua, informasi tentang warna bunga tersebut (contoh: merah). Ketiga, latar belakang bunga tersebut, dan seterusnya.

Contoh lain yang menghubungkan ingatan meruap dengan ilmu psikologi, jika kita pernah menonton iklan komersial Pizza Hut, bagaimana mereka menggunakan pengkategorian ini bersama lagu dan melodi untuk menyampaikan nombor telefon mereka, membuatkan ianya semakin bertambah mudah untuk diingat pelanggan. Jika anda pernah menonton iklan komersial tersebut, 1300-88-2525, fikiran anda mungkin sedang mendendangkan lagunya, dan anda telah mengingatnya tanpa sebarang paksaan. Di sini kita dapat melihat bagaimana bentuk penyampaian pengiklanan yang efektif berfungsi, melalui rangsangan dan manipulasi cara kerja semula jadi otak manusia untuk mencerap bunyi, visual, warna, momentum irama, dan pergerakan. Dan di sini kita melihat bahawa, ingatan akan menjadi lebih kuat dan mudah diingat apabila informasi-informasi tersebut dapat merangsang informasi-informasi yang lain.

Melalui kerja psikologis Kanada Donald Hebb dan neuropsiketaris Eric Kandel di tahun 1940an, kita mengetahui bahawa ingatan jangka-panjang yang terbentuk dikendalikan oleh hubungan antara neuron, yang menyebabkan perubahan yang kekal pada corak hubungan antara neuron tersebut. Kajian awal yang telah dilakukan terhadap lintah laut (sea slug), membenarkan kita untuk melihat apa yang berlaku apabila ingatan baru terbentuk. Ianya menunjukkan apabila lintah laut menerima rangsangan, sebahagian dari hubungan sinapsis mereka menjadi semakin kuat, detak/denyutan elektrik yang mendiami neuron pertama merangsang neuron kedua untuk mengeluarkan detak/denyutan elektriknya yang tersendiri.Sinapsis

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s