Tan Malaka: Aksi Massa (Aksi Perlawanan Masyarakat)

Tan Malaka Aksi Massa

Tan Malaka adalah orang yang pertama sekali mengasaskan konsep “Republik Indonesia”. Soekarno menyebutnya sebagai “seorang yang mahir dalam revolusi”. Seorang yang besar sumbangannya kepada kemerdekaan Indonesia. Telah mendalami sosialisme sejak berumur 16 tahun selama 6 tahun di Rijks Kweekschool, Belanda. Cita-citanya untuk mengubah nasib bangsa Indonesia tersemat tatkala menjadi guru anak-anak buruh kebun teh Belanda di Sumatra Utara pada November 1919.

Untuk melihat betapa berbisanya sosok Tan Malaka ini, dia telah mengembara sebanyak 89 ribu kilometer, bersamaan 2 kali mengelilingi bumi, demi cita-cita kemerdekaan bangsa. Boleh bercakap dalam 8 bahasa, mempunyai 23 nama samaran, terlibat dalam 9 buah organisasi, mempunyai 5 jenis pekerjaan, dan pernah disumbatkan ke dalam 13 buah penjara. Segala-galanya demi kemerdekaan bangsa Indonesia. Hidupnya berakhir dengan tragik di tangan Tentera Republik Indonesia pada 21 Februari 1949 di desa Selopanggung kerana dituduh melawan Soekarno – Hatta.

Di dalam Aksi Massa, Tan Malaka menyatakan bahawa “revolusi” itu bukanlah sesuatu yang istimewa, atau lahir dari fikiran seorang manusia yang luar biasa. Revolusi lahir dari kerangka masyarakat yang telah sedar dan bersedia untuk melaksanakan perubahan. Kesedaran dan persediaan yang timbul bukanlah ditentukan oleh retorik politik atau pidato-pidato bersemangat sang populis, itu hanya sebahagian dari prosesnya saja. Kerana kesedaran dan persediaan masyarakat terhadap revolusi adalah hasil dari cara hidup masyarakat, cara pergaulan antara masyarakat, dan revolusi ini adalah akibat dari tindakan-tindakan masyarakat.

Tan menegaskan, revolusi itu bukanlah lahir dari kerja-kerja setengah kelompok kecil yang terpisah dari masyarakat lainnya. Yang duduk bersembunyi dan hanya keluar apabila mahu menjalankan kerja-kerja pemberontakan atau menjalankan tujuan-tujuannya. Baik aktivis komunis atau anarkis, Tan menggelarkan mereka ini sebagai “tukang-tukang putch” yang bergerak secara diam-diam, tidak mempertimbangkan kesanggupan masyarakat, dan tidak menjalinkan sebarang hubungan dengan masyarakat banyak. Memang selalu kelompok-kelompok yang memisahkan diri mereka dari masyarakat akan menganggap masyarakat itu bodoh atau paling tidak pun taraf pemikiran dan prinsip masyarakat tidak setaraf dengan pemikiran dan prinsip mereka. Tetapi hakikat yang sebenarnya telah ada suatu bentuk pemikiran dan prinsip yang telah terlebih dahulu memenangi fikiran dan hati masyarakat berbanding pemikiran dan prinsip kelompok terasing itu tadi. Dalam kata lain, kelompok yang mengasingkan diri itu sebenarnya sedang kalah dalam mempromosikan pemikiran dan prinsip mereka akibat dari keterasingan mereka sendiri. Hal ini sangat bersangkutan dengan metode-metode pendidikan dan propaganda, bagaimana sesuatu itu diberitahu, diajar, dan diterapkan ke dalam fikiran dan hati masyarakat terbanyak.

Tan sedar jika “tukang-tukang putch” ini keluar menjalankan aksi pemberontakan demi masyarakat sekalipun, masyarakat tidak akan membantu mereka. Kerana bukanlah kerana masyarakat itu bodoh dan tidak menyedari apa yang sedang berlaku, tetapi kerana masyarakat hanya bertindak mengikut keperluan terdekat mereka dan sesuai dengan kepentingan ekonomi mereka. Bermakna, jika dilihat revolusi itu adalah sebuah aksi yang tercetus dengan sendirinya, maka perubahan radikal secara besar-besaran seperti revolusi masyarakat itu boleh dilihat sebagai kesan terhadap perubahan-perubahan radikal yang dilakukan secara kecil-kecilan.

Tan tidak menolak kewujudan parlimen yang mana keputusan dan perancangan masyarakat dibincangkan di situ. Malah untuk tidak menggunakan medium parlimen juga adalah sebuah kekeliruan dan dianggap pengecut. Tetapi terlebih dahulu masyarakat harus jelas kemerdekaan dan pembebasan bukanlah suatu aksi tawar-menawar, atau dalam kata lain kemerdekaan itu tidak sah melalui rundingan. Jika si penjajah bersetuju untuk membebaskan, maka si penjajah akan menggunakan kuasanya untuk melepaskan hamba jajahannya. Dan yang terjajah perlulah terlebih dahulu mengharapkan kuasa penjajah untuk membebaskannya, sedangkan kemerdekaan itu langsung tidak mengiktiraf kuasa asing yang menguasainya apatah lagi untuk memujuk rayu kepadanya. Kerana untuk mengharapkan pembebasan melalui Dewan Rakyat, menurut Tan adalah tidak ubah seperti seseorang di gurun sahara yang memburu fatamorgana.

Ini boleh dibuktikan dengan pergerakan politik Malaysia di zaman Umno yang melihat perubahan hanya dapat berlaku jika PH berkuasa. Peralihan parti melalui peti undi telah mendatangkan kekecewaan terhadap masyarakat. Untuk menaruh kepercayaan terhadap manifesto-manifesto penguasa tidak akan pernah mengubah nasib sesebuah masyarakat ke arah lebih baik. Akarnya, perubahan itu haruslah bermula melalui masyarakat itu sendiri dan bukanlah melalui parlimen, penggubalan sistem perundangan, atau peralihan parti. Kesemuanya itu adalah sebahagian medium yang boleh digunakan masyarakat untuk membangunkan kerja-kerja perubahan, bukan sebagai medium asas perubahan.

Tidak salah untuk menggunakan medium Dewan Rakyat sebagai salah satu senjata, meluaskan kekuasaan masyarakat dan mengukuhkan lagi kerja-kerja revolusi sehingga ke dalam dewan-dewan parlimen. Ini berbeza dengan kerja-kerja revolusi yang bermula dari dalam parlimen! Di dalam Dewan Rakyat, adalah sebagai tempat bertemunya segala macam perompak, pencuri, dan penyamun yang bertali leher. Di sini juga boleh dijadikan sebahagian tempat untuk menjalankan kerja perlawanan dengan penuh berani, dan untuk memecahkan topeng-topeng kesetanan mereka.

Revolusi akan tercetus dengan sendirinya setelah masyarakat itu sendiri mempersiapkan diri mereka dalam perihal pergaulan, ekonomi, politik, dan pemikirannya. Yang mana pergaulan itu bermaksud masyarakat telah menemukan kunci kesepakatan di antara sesama masyarakat. Dalam ekonomi pula walaupun masyarakat itu sedang tertindas oleh pemonopoli kekayaan, tetapi masyarakat itu telah mempunyai jalan untuk saling mewujudkan ekosistem ekonomi masyarakat yang lebih mandiri (tanpa pergantungan terhadap kuasa ekonomi si pemonopoli). Dalam politik pula masyarakat telah mencapai kematangan untuk menentukan bagaimana seharusnya mereka hidup, dan cara untuk mencapainya. Manakala pemikiran pula adalah soal keterjelasan pandangan hidup dan pengukuhan prinsip. Ianya adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana keadaan ekonomi, sosial, politik, dan pemikiran akan sentiasa mengasah dan menajamkan lagi pertentangan antara kelas. Belum pernah ada lagi dalam mana-mana sejarah dunia, keempat-empat faktor ini tidak mengacu kepada titik persilangan.

Contohnya di zaman dahulu, revolusi-revolusi terjadi melalui ajaran-ajaran agama. Akan lahir agama baru setiap kali keadaan sesebuah masyarakat itu mundur disebabkan oleh penindasan, perhambaan, atau ketidakadilan ekonomi yang terjadi oleh ketamakan penguasa. Seperti mana Zarathustra yang menentang penindasan institusi agama. Siddharta Gautama yang melarikan diri dari istana yang kaya raya kerana menyedari lambakan kaum miskin di luarnya. Atau nabi Musa bersama golongan Yahudi yang menolak untuk tunduk terhadap penindasan pemerintahan Firaun. Atau juga nabi Isa yang memilih untuk hidup gelandangan tak berumah bersama fakir miskin dan para pelacur yang dipinggirkan. Dan nabi Muhammad yang menentang kebilah-kabilah Badwi dan masyarakat dagang yang memonopoli ekonomi di Mekah. Pokoknya, tiada satu nabi atau buddha pun mahu tunduk terhadap pemerintah atau kuasa yang tamak terhadap kekayaan persendirian. Tiada seorang utusan tuhan pun yang mahu tunduk terhadap pemerintah yang mencengkam kaum miskin. Dan menurut Tan, hakikat kepada revolusi yang dibawa oleh agama itu juga mempunyai asas perjuangan kelas untuk kekuasaan ekonomi dan politik.

Jikalau menurut Karl Marx perjuangan buruh ini adalah untuk mencapai “satu masyarakat komunis yang tidak mempunyai kelas”. Maka rentetan terdahulu boleh dilihat di setiap agama yang turun akan menggugat dan merombak semula struktur kelas dalam masyarakat mengikut zamannya. Bermakna, perjuangan kelas ini bukanlah sesuatu yang baru, dan juga belum lagi menampakkan pengakhirannya dalam masa terdekat.

Tan melihat ada kemungkinan untuk tercetusnya revolusi melalui beberapa perkara. Pertamanya, apabila kekayaan dan kekuasaan tertumpu kepada sebahagian kecil golongan atasan. Kedua, kehidupan rakyat secara keseluruhannya semakin miskin, melarat, tertindas atau terkongkong. Dalam kata lain, kehidupan masyarakat semakin lama semakin dipermainkan oleh kuasa politik dan ekonomi. Ketiga, pertentangan kelas semakin hari semakin tajam. Keempat, pemerintah semakin hari semakin reaksioner. Dan kelima, masyarakat dari hari ke hari semakin bertambah kemarahannya terhadap kuasa pemerintahan dan semakin tak “mengenal damai”.

Hanya untuk mengelakkan dari terjebak ke dalam aksi yang “terumbang-ambing”, masyarakat yang telah bersedia itu harus menempa alat-alat revolusi terlebih dahulu, iaitu program – aktiviti dalam berorganisasi dan taktik serta strategi perlawanan. Ke mana arah perubahan itu akan teracu (visi revolusi) haruslah dikupas dan diperjelaskan. Kerana jika tidak, ramalan dan kesimpulan hanya akan menembak ke arah kekeliruan, dan kemenangan masyarakat menjadi serba tidak pasti atau kemenangan yang diraih hanya dapat bertahan sebentar saja.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s