Kenapa W.T.E Bukit Payung Wajib Dibantah?

Oleh: Iltizam Iman

47689492_751192511897966_2285477584261087232_o
Sumber foto – Gerakan Selamatkan Bukit Payung

Bukit Payung adalah sebuah bukit yang terletak di Kampung Kangkar Merlimau, Parit Sulong, Batu Pahat. Bukit ini berdiri bersama-sama Bukit Botak, Bukit Berdiri, Bukit Alam, dan Bukit merlimau. Puncaknya akan memperlihatkan pemandangan bandar Batu Pahat, Gunung Banang, Selat Melaka, dan sekitar perkampungan Parit Sulong dan Yong Peng. Bukit Payung telah lama mendapat perhatian pendaki, penunggang basikal ekstrem, dan pencinta alam untuk menikmati dan mengalami apa yang telah alam hidangkan melalui Bukit Payung. Dianggarkan lebih kurang 9000 orang dari serata dunia yang telah datang ke bukit ini.

Tetapi sejak tahun 2010, projek pelupusan sampah mahu dilaksanakan di atas tanah bernilai itu membuatkan kedatangan pelawat dan orang awam semakin merosot.

64621580_867832300233986_7962297161176055808_n
Sumber foto – Gerakan Selamatkan Bukit Payung

Sekarang bukit kami telah tersopak, digondol jentera dan jentolak. Pemandangan sudah terganggu, keselamatan komuniti terganggu, Kesihatan 18 buah kampung terganggu, ternakan terganggu, pertanian terganggu, ekonomi masyarakat terganggu, urusan 9 buah sekolah terganggu, sumber air bersih terganggu, ekosistem alam terganggu, bagai kami ini sedang didatangi penunggu! Pemilihan lokasi Bukit Payung sebagai ganti tapak pelupusan sampah di Simpang Renggam, amat-amat menyusahkan orang ramai, dan sangatlah mengganggu. Kenapa pemerintah Pakatan Harapan masih berkeras kepala lagi untuk teruskan projek pelupusan sampah yang tidak sampai 1 kilometer sudah ada penempatan? Hilang akal kah? Kenapa pemerintah masih mahu meneruskan teknologi insinerator yang memusnahkan alam dari memulakan inisiatif yang memberi penekanan terhadap “zero waste”? Bukankah dunia sedang bergerak menuju ke arah “zero waste” yang lebih efektif dalam menguruskan alam dan masyarakat dengan lebih sihat?

Bukit Payung bukanlah tempat yang baru dikenali oleh umat manusia, ianya pernah menjadi tempat bersejarah yang menyimpan khazanah berharga sejak zaman prasejarah. Di sebelah timur Bukit Payung, beberapa fosil tumbuhan purba telah dijumpai oleh ahli geologi seperti Otozamites gagauensis, Ptilophyllum cf. Pterophylloides, Gleichenites gagauensis, dan beberapa lagi nama tumbuhan yang sukar diejakan di sini. Di sebelah utara Bukit payung pula, mempunyai peninggalan jejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Terdapat 8 batu nisan Acheh dijumpai di Bukit Inas sebagai kawasan permakaman. Di bukit Inas ini dipercayai adalah sebagai kawasan perkampungan tertua di Batu Pahat yang wujud pada awal kurun ke-16 yang diasaskan oleh Tun Mamat. Dan susur-galur keturunan Tun Mamat ini masih boleh ditemui pada hari ini. Bukit Inas ini pula terletak di sebelah persisir Sungai Simpang Kiri, di mana Sungai Simpang Kiri ini adalah lebuh raya purba laluan air yang pernah menjadi laluan utama lebih 500 tahun dahulu.

Pertempuran antara tentera Jepun dan tentera British juga pernah terjadi di jalan Bukit Payung – Bakri. Yang mana menurut laporan akhbar British The Straits Times pada 24 Januari 1942, “The battle of Johore” adalah pertempuran yang paling tegang pernah terjadi waktu itu. Di Parit Sulong mempunyai monumen yang memperingati kejadian bersejarah itu. Persamaan antara ketiga-tiga rentetan sejarah ini, kesemuanya belum lagi betul-betul sempat dikaji habis oleh ahli sejarah sendiri. Penemuan fosil tumbuhan purba dan kewujudan zaman Melayu Melaka masih belum diletakkan papan tanda sejarah, apatah lagi untuk menjalankan kajian sejarah. Apa yang akan jadi terhadap semua peninggalan sejarah kita ini? Jika projek WTE ini akan mengubah sisa sampah menjadi tenaga, sisa-sisa sejarah ini juga akan menjadi sampah yang dibakar untuk ditukarkan kepada harta. Harta siapa? Pelobi kontraktor besar dan penguasa.

Di sini terlalu banyak sejarah dan peninggalan yang masih belum diterokai, kita sendiri masih belum benar-benar pasti apa yang pernah ada di sini. Mengapa pemusnahan secara besar-besaran ini kena dijalankan? Jika penjahanaman sejarah ini masih mahu diteruskan pemerintah, jangan disalahkan sesiapa jika anak-anak kita semakin hilang rasa cintakan negara. Jangan disalahkan masyarakat jika semakin memperolokkan negara kerana tidak kenal sejarah. Jangan pelik masyarakat kita akan semakin tidak tahu apa, jika pemerintah sendiri yang telah terlebih dahulu mengambil jalan bodoh yang lagi memperbodohkan.

Sejarah adalah satu perkara penting untuk difikirkan oleh pemerintah yang sedang buat-buat tidak peduli, juga ada beberapa perkara lagi yang wajib ditelusuri jika kamu mahu mewangikan semula pemerintahan kamu yang telah busuk itu. Jika tidak, perkara-perkara ini akan menjadi keutamaan kami untuk terus menentang kamu sehabis-habisnya.

Pertama, bagaimana keadaan 18 buah kampung yang akan tercemar? Kedua, bagaimana keadaan pertanian dan penternakan masyarakat yang 70 peratus darinya akan musnah? Ketiga, bagaimana kamu menjamin kesihatan anak-anak dari 9 buah sekolah? Keempat, apakah pertimbangan waras kamu untuk menimbunkan sampah di atas sumber air bersih semula jadi? Kelima, apakah waras untuk kamu memutuskan sumber rezeki masyarakat? Apakah ada sebarang jaminan terhadap ekonomi masyarakat? Keenam, apakah sistem pengurusan sampah tempatan sudah cukup sistematik untuk kamu membuang lagi sampah di sini? Ketujuh, apakah keselamatan dan kesihatan penduduk sudah kamu beri jaminan? Kelapan, apakah kamu mahu bertanggungjawab atas segala kerosakan yang bakal menimpa masyarakat? Kesembilan, apakah sistem pemparitan kamu sudah cukup sempurna? Tidakkah kamu tahu yang kampung di sekitar sini sering menjadi mangsa banjir? Apa akan jadi jika air sampah turun membanjiri penempatan?

37607890_658812874469264_1257857094770491392_o
Sumber foto – Gerakan Selamatkan Bukit Payung

Kenapa ini adalah suatu jalan pembodohan jika projek ini diteruskan? Yang hanya mempertayangkan kebodohan pemerintah Pakatan Harapan, yang mengenalkan kita warna sebenar kulit mereka yang rakus dan berahi dengan ketamakan? Jawabnya terletak pada cakap tak serupa bikin mereka, pada janji-janji palsu mereka. Sebelum menjadi pemerintah mereka sangat berpakat mengharapkan kebaikan dan keselamatan bagi Bukit Payung. Dari YB sampai ke MB sudah datang melawat lokasi turut marah dan bersimpati. Ditabur janji-janji menyenangkan hati orang kampung, ditabur semangat-semangat berjuang menolak penindasan. Lalu kini apa? Si pembela pula yang mahu meneruskan penindasan. Mereka mula mempromosikan kebaikan WTE. Mereka sudah berpakat agar harapan projek sisa ke tenaga berjalan! Jika harapan tercapai, awal Oktober 2019 sampah pertama akan menghiasi 25 ekar keluasan tanah.

Mungkin pada yang baru mengenal terma WTE, “Sisa ke Tenaga” atau “Waste to Energy” akan merasakan ini adalah suatu kebagusan, kedengaran amat mesra alam, teknologi penjana kuasa baru, pemanfaatan sisa sampah yang sangat menjimatkan. Jepun sudah lakukan, dan negara-negara maju banyak yang sudah lakukan. Tetapi apakah impak terhadap kesihatan masyarakat di negara maju itu sudah diperjelaskan? Sudah dijelaskan kah tenaga apa yang dapat dinikmati masyarakat setempat? Sedangkan hakikatnya WTE adalah sistem penjanaan kuasa yang langsung tidak efektif, malah membazir. Sisa sampah yang menjadi bahan api hampir tidak mampu menjana tenaga elektrik kerana nilai kalori sisanya rendah, apatah lagi untuk menampung satu taman atau kampung. Teknologi baru ini memakan kos yang jauh lebih tinggi berbanding sistem kitar semula yang telah sedia ada. Ruang pekerjaan masyarakat juga semakin tertutup. Kesan pencemaran yang terjadi akibat teknologi ini adalah jauh bertentangan dengan teknologi sistem kitar semula yang mesra alam.

Insinerator WTE ini hakikatnya memerlukan jumlah tenaga yang lebih banyak dari tenaga yang dapat dihasilkan, menurut US Energy Information Administration kos operasi penyelenggaraan dan penjagaan adalah dua kali ganda lebih tinggi dari loji tenaga berasaskan arang batu. Pengajaran yang boleh dilihat, bandar US Harrisburg di Pennsylvania yang telah jatuh muflis dibebani hutang pada 2011, dan penaiktarafan insinerator menjadi sumbangan utama punca masalah kewangan.

Sisa sampah ini tidak boleh dijadikan bahan bakar kerana amat-amat merugikan. Lebih 90 peratus bahan yang dilupuskan insinerator mempunyai bahan-bahan yang boleh dikitar semula dan dikompos. Subsidi dan insentif untuk mengendalikan insinerator akan menggalakkan kerajaan tempatan untuk menghapuskan bahan yang boleh dikitar semula atau dikompos. Yang mana jauh lebih baik, insentif kerajaan dilaburkan demi kemampanan sistem kitar semula dan pemuliharaan alam sekitar.

Insinerator WTE juga teramat menutup peluang pekerjaan, yang mana memerlukan pelaburan kapital yang besar tetapi menawarkan peluang pekerjaan yang sedikit berbanding kitar semula. Contohnya di Filipina, insinerator telah mengakibatkan pemungut sisa dan pengitar semula kehilangan kerja.

Yang paling kejam, insinerator ini akan menyumbang kepada pencemaran alam dan perubahan iklim. Ianya membebaskan lebih banyak karbon dioksida berbanding loji jana kuasa arang batu, gas asli, dan minyak. Agensi Perlindungan Persekitaran US telah menyatakan Insinerator dan tapak perlupusan sampah menyumbang kepada gas rumah hijau yang sangat tinggi. Penghasilan toksik adalah sangat tinggi, ianya akan memburukkan lagi masalah perlupusan kerana sisa sebenarnya tidak dilupuskan tetapi dibebaskan dalam bentuk abu berbahaya dalam kuantiti yang banyak. Ianya hanya mengecilkan saiz sisa tetapi hakikatnya meninggikan lagi kadar toksik sisa, proses ini tidak layak dipanggil sebagai “perlupusan”.

Projek ini akan membunuh masyarakat secara perlahan-lahan, kesihatan dan keselamatan masyarakat akan terganggu. Kerana ada kajian yang telah menunjukkan insinerator WTE adalah penyumbang utama kepada pembebasan dioxin dan furans. Banyak partikel halus yang dapat merosakkan sistem badan manusia dibebaskan oleh insinerator ini. Sistem pemparitan dan kitar semula yang sedang sedia ada ini juga gagal diselenggara dengan berkesan, apalagi jika datangnya pula mesin pelupusan ini? Insinerator sememangnya mempunyai kecenderungan tinggi untuk rosak, dan jika rosak ianya akan membebaskan gas berbahaya dan menjadi punca pencemaran udara yang lebih teruk. Orang pertama yang akan terkesan dengan pencemaran ini, adalah anak-anak murid dari 9 buah sekolah yang berada di tingkat bangunan yang lebih tinggi.

Satu-satunya penyelesaian bagi masalah insinerator ini, adalah kita mula memandang “zero waste” dari sudut yang lebih serius. Kerana ini merupakan satu jalan penyelesaian sisa sampah yang menumpukan pengurusan sisa dari akar umbinya. Kaedah ini dapat membuahkan pengurusan sisa yang lebih efektif, pantas, dan kos rendah. Kebaikan demi seluruh masyarakat juga dapat diutamakan. Ianya dapat memastikan pemulihan dan perlindungan sumber semula yang terhad dan semakin tenat ini boleh dilakukan. Ini kerana “zero waste” amat menekankan pengurangan sisa melalui pengkomposan, kitar semula, guna semula, dan membentuk semula sistem pengurusan masyarakat menuju ke arah cara hidup yang lebih sihat. Bahan pengeluaran dan reka bentuk barang industri juga akan mengalami perubahan kepada pengeluaran yang lebih mesra alam. Untuk bergerak ke arah ini, strategi perlaksanaan dan pembikinan dasar harus terlebih dahulu dirangka dengan jelas dan sistematik. Melalui pertimbangan semula semua potensi yang sedang tersedia di persekitaran.

Jadi sebagai kesimpulan saya melandaskan sebab-musabab kenapa projek WTE di Bukit Payung wajib ditolak. Pertama, kerosakan yang berlaku terhadap alam adalah lebih tinggi dari kebaikan yang dapat diberikan. Kedua, masyarakat tempatan akan mengalami kesusahan demi kesusahan di semua tempat dan bahagian dalam jangka panjang. Ketiga, sejarah akan terus dilupakan dan peradaban kita akan semakin jauh ketinggalan. Keempat, projek ini hanya menempah penyakit buat masyarakat tempatan. Kelima, potensi pembangunan dan kemajuan tempat akan terus mati, masyarakat akan semakin sukar untuk berdiri sendiri. Keenam, mematikan aktiviti rekreasi antarabangsa yang berjalan aktif di sini. Dan yang terakhir, insinerator WTE ini bukan saja merugikan masyarakat tempatan, malah amat-amat merugikan negara.

Orang tempatan bersama Gerakan Selamatkan Bukit Payung telah 10 tahun terus menerus memperjuangkan hak mereka. Sebenarnya jumlah tenaga yang besar telah digunakan mereka untuk membela nasib alam sekitar dan komuniti mereka, sedangkan tenaga itu boleh mereka gunakan demi pembangunan masyarakat dan persekitaran mereka sendiri. Tanpa mereka, mungkin Bukit payung telah lama musnah dibaham pelobi. Untuk masalah sebegini yang tidak langsung diberi perhatian pemerintah, apa yang harus orang tempatan lakukan? Menangis? Mengemis? Turun naik ofis? Bertemu ahli politik mulut manis? Adakah terpaksa diadakan desakan? Rusuhan? Atau mudahnya, MB Sahruddin Jamal letak jawatan?

65702537_874718846211998_3213567841663975424_o
Sumber foto – Gerakan Selamatkan Bukit Payung

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s