HOS Tjokroaminoto: Kesan Latar Belakang Keluarga Terhadap Pemikiran Sosialisme & Islam

HOS_Tjokroaminoto,_20_Mei_Pelopor_17_Agustus,_p43

Sebagai Anak Bangsawan

Seorang kelahiran dari keluarga bangsawan, anak ke-2 dari 12 adik beradik. Bapaknya Raden Mas Tjokrosmiseno adalah pegawai pemerintah Belanda. Atuknya Raden Mas Adipati Tjokronogoro, seorang bupati/ketua daerah Ponorogo. Justeru, Tjokroaminoto adalah cicit kepada seorang ulama besar iaitu Kyai Hassan Besari. Melalui Kyai Hassan Besari ini, Tjokjroaminoto mendapat kehormatan sebagai ‘anak bangsawan’. Juga melalui tradisi moyangnya juga, beliau membawa tradisi keilmuan ke arah kemerdekaan bangsa.

Lahir di dalam keluarga bangsawan, membuatkan beliau dihormati dan disegani oleh masyarakat, sesuatu yang menimbulkan ketidakselesaan di dalam diri seorang Tjokroaminoto. Hal ini boleh dikaitkan dengan bagaimana status bangsawan itu didapatkan oleh keluarga mereka. Berasal dari Kyai Hassan Besari yang menjadi guru kepada pemerintah Pakualam II/Pakubuana II (1711 – 1749); semasa pelariannya Pakualam II dalam menghadapi pemberontakan orang Tiongha yang bekerjasama dengan orang Jawa anti-Belanda terhadap dirinya kerana sanggup bersekongkol dengan VOC, sebuah Persatuan Dagang Belanda.

Pada awalnya, Pakualam II telah membantu para pemberontak untuk menjatuhkan VOC dengan menghantar 20,000 prajurit ke ibu pejabat VOC di semarang untuk mengepung ibu pejabat tersebut bagi membantu para pemberontak. Dan pemberontakan ini berjaya. Namun, setelah keadaan menjadi reda Belanda menjadi kuat dibantu Madura, para pemberontak Tiongha pula yang dipukul kuat lalu berundur. Disebabkan perunduran para pemberontak itu Pakualam II terus menandatangani perjanjian damai dengan VOC yang diwakili oleh von Hohendroff. Juga bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan persatuan Belanda tersebut[1]. Di sini memperlihatkan sikap Pakualam II yang oppurtunist. Pemberontakan orang Tiongha dan orang Jawa anti-Belanda tercetus disebabkan rasa tidak puas hati terhadap pembelotan Pakualam II. Ini memaksanya untuk melarikan diri bersama temannya von Hohendroff wakil VOC itu tadi, ke Ponorogo.[2] Tetapi saya belum menjumpai mana-mana sumber yang menerangkan aktiviti von Hohendroff di Ponorogo.

Di Ponorogo dan setibanya ia di perkampungan Tegalsari, Pakualam II menyerahkan diri kepada Kyai Hassan Besari dan menjadi anak didik ulama tersebut. Di pesantren Tegalsari itu Pakualam II diajarkan oleh Kyai Hassan Besari itu untuk hanya tunduk terhadap pemerintah alam Allah S.W.T.[3] Setelah ombak pemberontakan ke-2 kembali reda akibat tertangkapnya kepala pemberontak iaitu Sunan Kuning, Pakualam II dapat kembali ke Kartasura dan kembali menaiki takhta. Tetapi selepas penaikan takhta itu perjanjian-perjanjiannya dengan VOC menjadi semakin berat. Di hari-hari terakhir Pakualam II sebelum meninggal, kerajaannya secara penuh diserahkan kepada VOC melalui von Hohendroff. Maka, berakhirlah riwayat pemerintahan Kartasura di bawah Pakualam II. Setelah itu, Belanda mempunyai hak mutlak untuk melantik raja-raja keturunan Mataram[4].

Dalam tempoh waktu berkuasanya juga, di atas jasa Kyai Hassan Besari yang telah menjadi gurunya, lalu diambil Kyai besar itu menjadi menantu. Melalui perkahwinan itulah, bait-bait nostalgia keluarga bangsawan bermula terhadap penyambung keturunan Kyai Hassan Besari ini. Maka, tidak hairanlah jika bapak dan atuknya HOS adalah terdiri dari pegawai pemerintah Belanda waktu itu. Kerana keistimewaan-keistimewaan berat sebelah golongan priyayi/prijaji yang dilihatnyalah, seorang Tjokroaminoto menjadi seorang anak bangsawan yang anti-kebangsawanan.

Melalui latar belakang keluarga bangsawan, telah membawa beliau untuk memecahkan diskriminasi darjat dan mengkritik ketidakadilan yang disenangi oleh golongan bangsawan itu sendiri. Mengapa kita orang Jawa harus bekerja sebagai pegawai Belanda? Mengapa di luar keluargaku dan para priyayi, iaitu di desa-desa petani itu miskin, melarat, tak berdaya? Kenapa kuli-kuli itu semua orang Jawa dan Bukannya Belanda?[5] Persoalan-persoalan kritis juga timbul sejak beliau sekolah di OSVIA, mempersoalkan kenapa hanya anak Jawa berstatus priyayi saja yang dibenarkan bersekolah di situ.

Walaupun tetap taat kepada orang tuanya, itu tidak menghalang HOS untuk berlaku jujur terhadap dirinya dengan menunjukkan karakter yang sebenar. Di sekolah, beliau dikenali sebagai anak yang sukar diatur, keras kepala, dan kaki kuat berkelahi menampakkan sikapnya jelas bertentangan dengan kebiasaan perilaku pelajar OSVIA yang lain.  Sikap pelajar golongan priyayi lain yang seperti senang diternak, membuatkan HOS tidak sorok-sorok untuk menyatakan ketidaksukaannya terhadap teman-teman sekolahnya. Di sekolah itu juga, HOS dikenali sebagai pelajar yang amat alergi dengan semua hal yang berbaur kebangsawanan dan ketinggian darjat sosial[6].

Pekerjaan sebagai jurutulis di Kantor Kepatihan (wakil bupati/daerah) yang dikerjakan membuatkan dia bosan, tidak mengembangkan daya fikirnya. Dengan tarafnya sebagai anak-bangsawan, gelaran Raden Mas pastilah tidak terlepas darinya hingga membuatkan HOS menjadi murung dan sangat tidak ceria. Lalu dikahwinkan oleh orang tuanya dengan Raden Ayu (R.A) Soeharsikin bagi mengikat seorang Tjokroaminoto dengan tanggungjawab agar menjadi lebih tekun menjalankan kerja[7]. Tetapi ini juga tidak menjadi penghalang baginya untuk menempa jalan pembebasan.

Fikiran-fikiran Tjokroaminoto yang kritikal terhadap kedudukan priyayinya dan pandangan hidup ideal keluarganya sendiri ini, akhirnya telah membawa dirinya untuk melarikan diri dari keluarga dan isteri, untuk mencari jati dirinya yang sebenar[8]. Tidak dapat menerima bagaimana patuhnya golongan bangsawan jawa ini terhadap penjajah,  dapat dilihat apabila dengan keras HOS mengkritik bapak mertuanya sendiri sebagai seorang yang kolot. Hos menganggap bapak mertuanya, Mangonsoemoe seorang yang terlalu menghambakan diri kepada penjajah[9].

Sepanjang 1910 – 1912 bekerja sebagai kuli di Semarang. Sepertimana kata Ismail, seorang kader Partai Sarekat Islam, “Dia (HOS) ingin merasakan susahnya jadi kuli bongkar-muat di kapal.” Pengalaman bekerja sebagai kuli selama 3 tahun, menjadikannya bosan dan merasa tidak puas hidup hanya sekadar kerjaya dan cari makan. Yang kemudiannya langkah pelarian itu disusuli oleh isterinya R.A Soeharsikin bersama cahaya mata mereka yang pertama, setelah Soeharsikin sembuh dari pantang. Isterinya juga nekad sanggup untuk melepaskan segala kemudahan dan kemewahan sebagai puteri wakil bupati, demi perjuangan seorang Tjokroaminoto.

Tambahan pula, taraf priyayi keluarganya itu pula bersangkut paut dengan sebuah syarikat penjajah (VOC) yang diketahuinya telah mencuri 1,800 juta gulden setahun dan meninggalkan para petani hidup dalam keadaan miskin, tak berdaya, dan melarat[10]. Ini cukup menjelaskan betapa alerginya HOS terhadap taraf bangsawan seorang Raden Mas. Konflik tentang kelas dan darjat yang dilaluinya, membuatkan HOS lebih mendalami prinsip-prinsip keadilan sosial di dalam sosialisme.

 

Sebagai Pewaris Ilmu

Pada sisi yang lain pula, kehormatan masyarakat terhadap keluarga HOS Tjokroaminoto bukanlah semata-mata kerana kedudukan istimewanya sebagai anak bangsawan di bawah pemerintahan Belanda, kerana ada versi yang lain, Kyai ini menjadi tahanan Pakualam II sendiri kerana Kyai ini mempunyai kekuatan, ajaran, dan bilangan pengikut yang mampu menggugat pemerintahannya. Semasa Hassan Baseri di dalam tahanan, puterinya Pakualam II mula menaruh cinta terhadap Kyai itu kerana kebijakannya, tetapi semestinya dihalang tapi tetap berjaya dipujuk sehingga ia terpaksa membenarkannya[11]. Saya sendiri lebih memilih versi yang pertama tadi, kerana mempunyai keselarasan dengan sejarah Pakualam II. Tetapi versi yang ini juga menggambarkan kekuatan Kyai Hassa Besari melalui pesantren Tegalsari sehingga mampu menggugat sebuah pemerintahan. Maka, kehormatan yang diterima HOS dari masyarakatnya juga adalah hasil dari jasa moyangnya yang telah membuka Pesantren Tegalsari sebagai pusat ilmu yang mampu mengancam pemerintah di masa itu.

Beribu-ribu santri yang melatari pelbagai bidang seperti Pakualam II sendiri sebagai pemerintah, Ronggowarsito sang pujangga, dan terlalu ramai santri membanjiri kampung Tegalsari ini untuk meluaskan ilmu pengetahuan. Akibat bilangan santri yang terlalu ramai, seluruh perkampungan Tegalsari itu dijadikan pesantren. Ini menjadikan Pesantren Tegalsari melalui zaman keemasannya di mana keilmuan hangat diperbincangkan secara progresif sehingga mengesankan bangunnya pesantren-pesantren lain di kampung sekitar Tegalsari. Juga melahirkan tokoh-tokoh penting dalam sejarah perkembangan intelektualisme pesantren seperti Abdul Mannan pendiri Pondok Pesantren Termas, dan Kiai Mujahid seorang pengasuh pondok pesantren Sidoserman, Surabaya. Yang mana kedua-duanya amat menitikberatkan tentang kebebasan fikiran.

Di dalam catatan sejarah Kyai Hassan Besari, ada dikatakan bahawa HOS juga adalah salah seorang santri yang mengaji di pesantren Tegalsari itu[12]. Semestinya bukan berguru dengan moyangnya itu, tetapi anak cucu yang meneruskan tradisi pesantren tersebut. Melihat latar belakang kehormatan keluarganya berdasarkan tradisi pesantren yang dibangunkan, maka tidak hairan rumah HOS yang tidak seberapa luas itu juga dijadikan sebagai pondok pengajian yang telah meledakkan semangat kemerdekaan Indonesia. Di rumahnya terdapat 10 buah bilik sewa yang untuk disewa oleh anak muda dan juga murid-muridnya. Ini termasuklah Soekarno, yang menjadi junior Musso, Alimin, dan Semaoen[13].

HOS sendiri tidak terlepas menjadi seorang guru yang memberi impak besar terhadap pembangunan sejarah. Anak-anak muda yang duduk menyewa bilik di rumahnya menemukan jalan dan dunia masing-masing. Melalui ruang kecil rumah HOS inilah, terbentuknya seorang Soekarno sebagai bapa Nasionalisme, Kartosuwiryo sebagai bapa Islamisme, dan Semaoen, Alimin, serta Musso sebagai bapa Komunisme[14].

Betapa kuatnya impak pemikiran HOS terhadap tokoh-tokoh nasional ini terutamanya Soekarno. Soekarno yang mula-mula datang sebagai seorang anak yang gementar, menangis terpaksa berpisah dengan keluarga[15], menjadi seorang pemuda yang mempunyai semangat jiwa yang berapi-api, yang akhirnya menjadi presiden pertama negara republik itu. Pidato seorang bapa nasionalisme yang membara-bara, bagai api menjulap-julap, telah terasah sejak tinggal di rumah HOS, di mana dia akan berlatih pidatonya di dalam bilik kecilnya di bahagian loteng tanpa tingkap. “Pesetan dengan penindasan!!!”, “Hidup Kemerdekaan!!!” teriak Soekarno bersendirian hampir tiap malam, yang terkadang digelak dan disuruh diam oleh teman-temannya yang lain[16].

Rumahnya di Paneleh, Surabaya, juga menjadi tempat yang paling penting dalam pergerakan nasional Indonesia pada saat itu. Rumah seorang pemimpin Sarekat Islam, organisasi terbesar Nusantara ketika itu, tidak pernah lekang dari lawatan tokoh-tokoh gerakan yang datang dari pelbagai daerah dan latar belakang ideologi kiri maupun kanan[17]. Menjadikan ia sebagai tempat pertemuan bagi tokoh-tokoh yang berbeza aliran. Seperti Agoes Salim, Abdul Moeis, S.M Kartosuwiryo dan tokoh politik dari kalangan Islam bertemu dalam satu meja untuk berbincang-bincang dengan Sneevliet, Musso, Alimin, Dharsono dan lain-lain yang berhaluan kiri. Tokoh nasionalis juga turut hadir seperti Dowess Dekker, Suwardi Suryaningrat dan juga lain-lain. Tidak terlepas para priyayi, rakyat jelata, dan murid-muridnya. HOS sendiri sangat senang dengan keadaan rumahnya yang sangat terbuka setiap masa untuk menjadi medan perbahasan dan perbincangan. Kegiatan itu merupakan salah satu cara untuk memperkuatkan lagi barisan sehingga dapat memudahkan untuk mencapai keberhasilan perjuangan[18].

Kerana itu, peranan dan fungsi HOS di dalam pembangunan kemerdekaan masyarakat Indonesia adalah tidak lari jauh jika hendak dibandingkan dengan moyangnya Kyai Hassan Baseri, yang juga menjadi guru terhadap ramai tokoh-tokoh besar. Jika di masa Hassan Baseri, seorang pemerintah besar datang menyerah diri kepadanya. Melalui HOS pula, terdidiknya pemimpin-pemimpin negara yang berjiwa besar. Maka, dapat dicerminkan latar belakang salah silah keluarganya yang tinggi ilmu, juga bertaraf bangsawan, telah banyak memberi impak terhadap pembangunan pemikiran seorang Tjokroaminoto yang amat bersifat sosialisme dan keagamaan.

Melalui latar belakang keluarganya yang bertaraf bangsawan, mendekatkan HOS untuk mengenali ketidakadilan sosial yang terjadi, membuatkan ia mendalami sosialisme. Melalui latar belakang keluarga yang mempunyai dasar kefahaman tentang Islam yang mendalam, membawa HOS untuk mengembangkan lagi fahaman itu ke arah yang lebih luas.

 

Oleh: Iltizam Iman Abd Jalil

 

Nota kaki:

[1] https://ms.wikipedia.org/wiki/Pakubuwana_II

[2] Ibid.

[3] https://www.gontor.ac.id/pondok-tegalsari

[4] https://ms.wikipedia.org/wiki/Pakubuwana_II

[5] Tjokroaminoto: Untuk Pemula, Republik Buku, hlm. 23.

[6] Ibid, hlm. 20.

[7] Ibid, hlm. 22.

[8] Ibid, hlm. 25.

[9] Ibid, hlm. 27-28.

[10] Ibid, hlm. 60.

[11] https://nusantara.news/kyai-ageng-hasan-besari-guru-orang-orang-besar/

[12] Ibid.

[13] Tjokroaminoto: Untuk Pemula, Republik Buku, hlm. 59.

[14] Ibid, hlm. 58.

[15] Ibid, hlm. 61.

[16] Ibid, hlm. 66.

[17] Ibid, hlm. 62.

[18] Ibid, hlm. 59-60.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s