Ulas Zine: ‘Molek ah’ Oleh Q-Jangsary

FB_IMG_1554392140256.jpgOleh: Iltizam Iman

Kejujuran, adalah pengisian yang paling utama dan bernilai dalam setiap bab yang ditampilkan Q-Jangsary dalam makalah ini. Penulis banyak bertolak dari penyemakan diri sendiri melalui pengalaman dan keperibadiannya untuk menyiapkan makalah yang mempunyai 92 muka surat ini. Makalah ini juga banyak menyuarakan konflik dalaman, perihal institusi kekeluargaan, sejarah kemerdekaan, dan pergelutan kos sara hidup.

Dalam ulasan ini saya banyak berfokus pada bab awal yang banyak menyentuh soal keyakinan, dan kejujuran. Kerana saya tertarik dalam bahagian pertama makalah ini penulis menampilkan sisi peribadi yang jarang berani ditampilkan oleh sesiapa, kerana setiap orang mempunyai sisi ini dan sisi peribadi ini selalunya tidak akan disukai atau dipandang naif di dalam sebuah masyarakat yang lebih selesa untuk menafikan sebahagian perkara yang ada di dalam diri mereka, hati mereka, fikiran mereka. Bila saya berkata ‘mereka’, saya juga terasa sedang merujuk kepada diri saya, membuatkan terbit rasa mahu untuk cuba mengulas, cuba berlaku jujur terhadap kejujuran.

Saya suka bagaimana penulis memang sengaja melontarkan segala kenaifannya. Semakin dia merasa itu adalah naif, semakin kuat dilontar-lontarkannya. Dalam keadaan kita berlumba untuk tunjuk siapa lebih bijak, lebih mendalam pemikirannya, lebih jelas, lebih berfakta, lebih teratur, lebih berakhlak, lebih beretika, tetapi akhirnya sebahagian dari kita sanggup meminggirkan sebahagian diri yang meminta untuk dikenali, didengari, bukan oleh sesiapa tetapi oleh diri sendiri hanya kerana takut dipandang rendah. Bagaimana kita akan mampu mengenali kejujuran orang, jika kita tidak mengenali kejujuran sendiri? Atau lebih jelas, bagaimana kita tahu kita berlaku adil terhadap orang lain, jika kita belum pernah lagi berlaku adil terhadap diri sendiri?

Apa yang dimaksudkan oleh penulis dengan peleburan, saya kurang pasti. Yang saya tahu peleburan itu adalah proses individu dalam mencapai keyakinannya yang terdalam. Dalam tulisan-tulisannya peleburan ini bukanlah merujuk kepada pembikinan makalah ini semata-mata, tetapi peleburan di dalam proses kehidupan, dan makalah ini menjadi pintunya. Kerana pada awalnya saya tertanya-tanya, sama ada penulis hanya mahu menerbitkan makalah ini dengan asal boleh, atau ini adalah sebagai salah satu eksperimen penulis terhadap fikiran dalam mengenali peribadi dirinya sendiri.
Jika sudah melebur, kenapa penulis bersusah-payah menulis panjang lebar tentang peleburan? Kerana saya melihat peleburan yang dimaksudkan penulis bukanlah penyerahan membabi buta. Hendak meleburkan besi atau kaca, harus menunggu masa, ada tahap kepanasannya. Melebur/berserah/yakin ini bukanlah satu sikap yang boleh dibuat-buat, sekali lafaz jadi sekelip mata. Sekadar mengucap, menulis, atau mendalami perbahasan teori sekalipun, belum tentu keyakinan akan didapati. Sepertimana ulasan saya ini, bukan bermaksud saya telah melebur kerana mengulas perihal peleburan, tetapi saya mengulas kerana juga sedang mencari jalan bagaimana untuk melebur atau bagaimana untuk yakin. Seperti yang dikatakan tadi, keyakinan ini bukan boleh dicapai hanya sebatas ucapan, kefahaman, atau pengakuan, ianya memerlukan proses, juga memerlukan disiplin.

Dan mungkin sebab itu, penulis memusatkan seluruh perhatiannya terhadap proses pembikinan. Sepertimana yang disebut penulis, sememangnya makalah ini ingin ditulis dengan tergesa-gesa, untuk terus menulis dan hilang dalam proses penulisannya. Mungkin penulis sedang melakukan eksperimentasi terhadap dirinya sendiri. Mungkin juga sedang mencari jalan, untuk membebaskan diri dengan sebebas-bebasnya.

Bersetuju dengan pandangan penulis, “Pekerjaan yang paling baik adalah menyatakan kejujuran.”. Ini kerana melalui kejujuran saja kita benar-benar dapat melihat, mempelajari, dan memahami diri sendiri juga orang lain dengan sebenar-benarnya. Jika semua orang menyatakan kejujuran yang ada di benak hatinya, bukankah segala permasalahan kita akibat dari sengketa dan salah faham dapat diperjelaskan? Mungkin tak dapat diselesaikan, tetapi setidaknya kita dapat menjauhkan kekeliruan dalam mengenal pasti punca masalah. Jika semua orang mampu jujur menyatakan dirinya yang sebenar-benarnya, bukankah kita semua akan lebih mudah untuk memahami dunia? Jadi mengapa kita harus takut pada kejujuran? Apakah kita takut akan kebenaran? Atau kita percaya jika terlalu jujur, kita juga akan bergaduh? Kerana itu penulis mendahului makalahnya dengan menegaskan untuk melebur, bukan hidup main redah semberono.

Melebur ini juga bertolak dari bagaimana kita meletakkan fungsi akal dan perasaan ini di tempatnya. Apakah jika kita benar-benar menguasai fikiran, menghargai perspektif orang lain, menghormati perasaan sendiri dan orang lain, kejujuran yang itu akan menggoncangkan tiang-tiang kebaikan? Walaupun jika kejujuran itu akan menimbulkan kekacauan sekalipun, apakah akan lebih teruk dari kekacauan akibat dari putar belit dan tipu daya hari ini?

Disebabkan itu dalam proses membentuk keyakinan, berlakunya proses soal-menyoal, memerhati, dan menguji diri sendiri seperti yang dilakukan oleh penulis terhadap penulisannya di dalam makalah ini. Saya seperti mendengar suara penulis mendesak sekeras-kerasnya bahawa kita sudah tidak boleh lagi menunggu kejujuran dari orang lain, melainkan bermula dari dalam dirilah kejujuran itu harus dijumpai terlebih dahulu.

Akhir sekali, melalui makalah ini saya semakin yakin kita harus menyatakan kejujuran dengan semahunya, untuk memahami diri sendiri dan menyatakan suara melalui kejujuran yang sesungguhnya. Sebagai ruang pembelajaran dan jalan pembebasan agar tiada lagi sekat-sekat fikiran dalam menjalani proses kehidupan. Molek ah!FB_IMG_1554392198721.jpg

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s