Syarat Pembentukan Masyarakat Maju: S.H Alatas Dalam “Sekitar Revolusi Mental dan Peribadi Melayu”

Di dalam Siapa Yang Salah: Sekitar revolusi Mental dan Peribadi Melayu, S.H Alatas menggariskan beberapa syarat yang akan menentukan pembangunan dan kemajuan masyarakat. Beliau cenderung untuk melihat kemajuan masyarat melalui pendekatan Sosialisme dan Islam. Sosialisme dari sudut ekonomi dan undang-undang, manakala pendekatan Islam lebih memenuhi ruang etika kemasyarakatan.

Dalam menuju kemajuan masyarakat, terdapat beberapa hal yang perlu dipenuhi bagi memastikan sesebuah masyarakat itu dapat memenuhi potensinya yang sebenar. Pertamanya, lebih bersifat ekonomi, S.H Alatas menggariskan masyarakat terbanyak haruslah mendapat kemakmuran diri. Kemakmuran diri yang dimaksudkan adalah dapat memenuhi keperluan hariannya seperti rumah, pakaian, makanan berzat, dan mempunyai kemampuan untuk memenuhi kehendaknya.  Maka, memenuhi keperluan seharian yang bersifat individu adalah hal yang terpenting dalam pembangunan masyarakat. Bayangkan, jika dalam sesebuah keluarga harus mencatu makanan, maka di dalam hati setiap ahli keluarganya pasti akan timbul suatu kerisauan dan kebimbangan.

Yang kedua, beliau menyatakan keadilan undang-undang haruslah ditegakkan bagi membentuk persekitaran yang selamat dan terjamin. Perasaan setiap ahli masyarakatnya haruslah merasa nyawa, harta, dan kehormatan mereka tidak dalam ancaman. Tetapi jika ada undang-undang yang adil juga tidak cukup, jika pelaksana undang-undangnya iaitu pemimpin masih menjalankan pemerintahan yang korup. Dasar undang-undang yang adil, tidak berguna walau sedebu jika pemimpinnya tidak menghormati nilai-nilai demokrasi yang telah dipersetujui bersama.

Ketiga, setelah keperluan diri telah dipenuhi, dan keadilan undang-undang telah tegak berdiri, setiap ahli masyarakatnya haruslah mempunyai kemerdekaan diri. Kemerdekaan diri ini bermaksud setiap orang mempunyai hak untuk menentukan hidupnya, ideologinya, agamanya, dan bebas untuk menentukan bagaimana mereka akan hidup di dunia. Kerana jika tanpa kemerdekaan diri, kemakmuran diri dan keadilan undang-undang itu hanya merujuk kepada bangunnya Sosialisme di Jerman yang bercirikan pemerintahan fasis.

Selepas itu, masyarakat yang maju itu haruslah mempunyai semangat dan usaha untuk menimbulkan nilai berharga pada sisi kemanusiaan. Masyarakat terbanyak haruslah mempunyai daya fikir yang kritis, juga semangat dan usaha untuk mencipta. Setidaknya, harus ada usaha untuk bergerak ke arah itu. Kerana daya fikir yang kritis dalam masyarakat akan melahirkan lagi ramai ilmuwan, karyawan, dan tenaga pakar dalam pelbagai bidang. Hanya melalui penerapan daya fikir yang aktif, masyarakat akan dapat meninggikan dan meneropong lagi jauh tentang potensi mereka sendiri, iaitu bagaimana potensi setiap individu dapat berfungsi sempurna dalam masyarakat.

Tanpa adanya pemikiran kritis di dalam masyarakat terbanyak, mustahil ilmuwan, karyawan, dan tenaga pakar yang ada di kalangan masyarakat itu sendiri dapat dilihat dan disedari kewujudannya. Tanpa pemikiran kritis juga, kemakmuran dan keadilan di dalam sesebuah masyarakat itu hanyalah sebatas kesenangan haiwan ternakan yang cukup tidur dan cukup makan. Di mana masyarakat adalah haiwan ternakannya, pemimpin adalah pengembalanya, manakala negara adalah pagar kandangnya.

Yang kelima dan yang terakhir, kelangsungan kesemua syarat yang diterangkan di atas amatlah bergantung terhadap pembangunan nilai moral dan etika, serta hubungan kemasyarakatan yang bersifat kolektif. Walaupun sudah ramai ahli fikir di dalam masyarakatnya, tetapi kebanyakannya dihinggapi penyakit sombong dan tamak, tidak jujur malah penyeleweng, masyarakat hanya mendapat tipu daya orang bijak pandai. Tanpa perkara-perkara ini, segala yang dikecapi seperti kestabilan ekonomi, keadilan, kebijaksanaan, tidak akan mampu bertahan lama dan pantas mengembalikan masyarakat itu ke kancah kemunduran.

Perhubungan di dalam masyarakat yang sebenar-benarnya maju haruslah hidup dalam keadaan saling menghormati, memandang orang lain sebagai satu nilai yang harus dipelajari. Dari itu kerjasama antara masyarakat akan terjalin dengan lebih jujur. Kejujuran ini akan dapat menimbulkan semangat gotong royong, yang mana dapat mengukuhkan lagi institusi keluarga dan kemasyarakatan. Melalui pengukuhan institusi keluarga dan kemasyarakatan, akan menimbulkan rasa tenteram dan aman pada setiap ahli masyarakatnya. Maka, suasana yang adil dan keadaan persekitaran yang sihat dapat diterapkan dalam kehidupan seharian masyarakat.

 

Oleh: Iltizam Iman Abd Jalil

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s