Jalan Menuju Kemajuan Masyarakat: S.H Alatas Dalam “Sekitar Revolusi Mental dan Peribadi Melayu”

Kemajuan masyarakat itu adalah satu perkembangan yang terjadi dalam sesebuah masyarakat untuk mencapai dan memenuhi potensi sebenar setiap ahli masyarakatnya. Di dalam proses ini berlakunya pertembungan antara gambaran kehidupan ideal dengan keadaan realiti sebenar, ini adalah pertimbangan antara cita-cita dengan keterbatasan diri. Untuk mencapai kemajuan, setiap ahli masyarakat itu perlu sedar akan potensi serta kekurangannya dengan jelas. Secara ringkas, di dalam Siapa Yang Salah: Sekitar Revolusi Mental dan Peribadi Melayu S.H Alatas menggariskan beberapa perkara tentang bagaimana cara untuk mencapai kemajuan masyarakat.

 

1. Keperluan ahli fikir di dalam masyarakat.

Pertama sekali masyarakat haruslah mempunyai ahli fikir yang dapat menjelaskan sebab-musabab serta punca-punca yang mengakibatkan perkembangan dan kemunduran sesebuah masyarakat itu sendiri. Kerana jika satu-satu masalah itu gagal diletakkan pada tempatnya, gagal dilihat dari sudut yang sepatutnya, langkah penyelesaiannya tidak akan jelas dan masalah akan menjadi semakin berselirat dan semakin rumit. Lalu semakin lama masalah yang cuba diselesaikan menjadi hilang punca. Tanpa adanya ahli fikir yang menyumbangkan masanya untuk memikirkan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat, objektif dan perspektif hala tuju masyarakat itu akan menjadi kabur, tidak jelas, beku, dan kaku. Mungkin ada yang berpendapat, kerja-kerja teori ahli fikir hanyalah lancapan intelektual yang terpisah dari keadaan sebenar masyarakat. Saya tidak menolak sepenuhnya kritikan sebegini, tetapi apakah persiapan ilmiah itu tidak berguna bagi menyelesaikan teka-teki masalah?

Contoh, persiapan secara ilmiah amat diperlukan bagi memperjuangkan atau menegakkan keadilan, kerana keadilan itu adalah soal pertimbangan yang seimbang. Apakah kebodohan dan ketidakpedulian itu dapat mencerminkan pertimbangan yang seimbang? Contoh yang lebih nyata, kita ambil industri pertanian kelapa sawit sebagai pemerhatian. Berdasarkan kajian, kebanyakan parit-parit di sekitar Parit Raja Batu Pahat yang mempunyai kadar Ph yang tinggi disebabkan oleh baja kimia yang digunakan di kebun kelapa sawit, habitat ekosistem asal juga banyak terganggu disebabkan oleh penanaman tunggal kelapa sawit yang dilakukan secara besar-besaran. Di sudut positifnya, industri pertanian kelapa sawit banyak membangunkan masyarakat kampung dari segi ekonomi,  ianya juga banyak membuka ruang pekerjaan, serta membangunkan ekonomi negara. Namun jika dilihat penentangan sesetengah pihak yang mengatakan keburukan kelapa sawit ini adalah fitnah negara barat untuk mengganggu ekonomi negara, adakah ini berlandaskan pemikiran yang sihat? Yang telah menggali punca-puncanya? Mempertimbangkan perspektif yang berlainan? Di pihak sebelah lagi, yang mahu penanaman kelapa sawit secara besar-besaran dihentikan, apakah sudah ada persediaan dan strategi yang jelas bagi pembangunan ekonomi masyarakat?

Saya tidak mahu berfokus terhadap isu kelapa sawit dalam penulisan ini, tetapi serba-serbi isu ini dapat memperjelaskan betapa pentingnya fungsi ahli fikir yang menyatakan pemikirannya terhadap masalah-masalah masyarakat seumpama sekarang ini. Pada dasarnya keperluan ahli fikir ini dituntut kerana pertamanya, masyarakat kebanyakan harus memahami suasana dan persoalan penting di sekitar permasalahan yang mereka hadapi. Kedua, dapat melihat gambaran dengan jelas bagaimana bentuk dan strategi penambahbaikan diri mereka sendiri. hal ketiga ini bersifat individual. Ketiga, dapat menjangkakan kesan dari permasalahan dan menjangkakan kesan dari perlaksanaan penambahbaikan. Hal ini hanya dapat diperoleh apabila dasar dan ideologi yang menyatukan masyarakat itu jelas pada kebanyakan ahli masyarakatnya.

Mungkin hal ini memperjelaskan bagaimana kepimpinan Pakatan Harapan sekarang ini menjadi carca-marba akibat tiada ahli fikir yang diangkat oleh kerajaan untuk membuat pemerhatian dan kajian yang mendalam terhadap masalah-masalah masyarakat seperti kemiskinan, rasisme, agama, atau alam sekitar. Jika adapun, sememangnya banyak, tetapi masih tidak diendahkan. Bukannya tiada ahli akademik yang menjalankan kajian tentang permasalahan masyarakat ini, juga tidak kurang juga penulis-penulis muda yang cuba menjelaskan, mengkritik, dan membahaskan masalah-masalah yang dilanda, tetapi apakah kerajaan benar-benar bersungguh-sungguh untuk mengangkat pandangan dan idea mereka?

 

2. Mewujudkan daya fikir yang tinggi dan mementingkan pembangunan moral.

Kebanyakan masyarakat harus menguasai ilmu berfikir secara kritikal dan kreatif. Pertama sekali ini bagi memastikan masyarakat itu membangun dan maju secara sihat dan efektif. Keduanya bagi menjamin serta memastikan pemimpin melaksanakan tanggungjawab kepimpinan dengan sejujurnya tanpa berbuat sewenang-wenangnya. Sama ada keadaan masyarakat itu yang menentukan keadaan pemimpinnya, atau keadaan pemimpin yang menentukan keadaan masyarakatnya, itu bukanlah persoalan yang utama. Kerana kemajuan hanya dapat digerakkan dengan sesungguhnya apabila keadaan masyarakat dan pemimpin memenuhi antara satu sama lainnya. Pemimpin bertanggungjawab untuk menyediakan ruang dan bahan pendidikan dan pengajian yang dapat membina mental dan peribadi masyarakat menuju pencerahan. Dan masyarakat pula bertanggungjawab untuk memastikan pemimpin tidak menggunakan kuasa mereka sewenang-wenangnya, kerana itu kebijaksanaan diperlukan di dalam masyarakat. Masyarakat terbanyak harus menjadi bijaksana untuk menguruskan dirinya, harus bijaksana untuk mengetahui hak-haknya, harus bijaksana untuk mengerjakan kemampuan-kemampuannya. Bijaksana juga harus bijak, untuk mengenal pasti jika barisan kepimpinan negara ada melakukan putar belit dan penyelewengan. Jika tidak, masyarakat itu sendiri akan terjebak dalam perbalahan yang mereka sendiri tidak sedar ketidakadilan yang ada di dalam pendirian dan pandangan mereka.

Pemimpin yang dilantik untuk menjalankan tugas-tugas masyarakat, juga perlu terdiri dari golongan yang bermoral tinggi. Jika soal kebijaksanaan, telah diperjelaskan kepentingannya. Tetapi bagaimana pula dengan moral? Apakah hubungan antara akhlak pemimpin dengan pelaksanaan kerja dan tanggungjawabnya? Bukankah soal moral dan akhlak itu tiada kena mengena dengan urusan pentadbiran negara? Siapa kata? Kerana keruntuhan akhlaklah, korupsi atau penyelewengan berlaku. Kerana ketiadaan morallah, perangai-perangai pemimpin seperti samseng. Kerana kematian adab, pemimpin hilang pertimbangan tentang keadilan. Kerana ketidakpedulian terhadap etikalah, pemimpin meluluskan projek-projek mega yang secara terang mengancam alam sekitar seperti projek Sultan Johor di sepanjang pantai Teluk Danga, atau kerajaan Pulau Pinang yang sibuk menambak-nambak pantai dan menambah pulau. Kerana ketamakan pemimpinlah, pembangunan ekonomi rakyat menjadi pasif dan beku. Kerana ramai pemimpin negara dan dunia yang bijaksana tetapi tidak berakhlaklah, penyonglapan hasil negara dilakukan dengan penuh terperinci dan teratur.

 

3. Keperluan terhadap dasar dan ideologi yang jelas.

Untuk mengetahui keterjelasan sesebuah ideologi itu, haruslah dilihat kepada beberapa perkara dan persoalan yang penting untuk diteliti. Pertama sekali, bagaimana pandangan sesebuah ideologi itu melihat pembangunan ekonomi asas untuk memenuhi keperluan harian setiap ahli masyarakat. Bagaimana ideologi itu menilai kepentingan kedudukan masyarakat bersama fungsinya, dalam membangunkan ekonomi. Jika masyarakat itu bekerja, bagaimana ia melihat kedudukan golongan pekerja. Kerana dasar yang diterapkan itu kesannya hanya dapat dilihat dalam jangka panjang, tanpa dasar dan ideologi yang jelas sesebuah masyarakat itu hanya akan terperangkap dalam kesilapan yang sama dihadapi oleh masyarakat-masyarakat yang sebelumnya.

Merujuk kepada kenyataan pemimpin ketika ini terutamanya Mahathir, seperti tentang cara menangani masalah kos sara hidup di kalangan nelayan, yang lebih banyak menyalahi sikap nelayan yang suka bergantung kepada bantuan dan mencadangkan nelayan untuk berusaha dengan lebih kuat seperti mencari kerja lain, memperlihatkan betapa pemimpin seperti Mahathir dan barisan kepimpinan PH tidak mempunyai kerangka yang jelas bagi pembangunan masyarakat.

Kerana masalah yang melanda masyarakat seperti golongan nelayan, bukanlah bergantung kepada pengeluaran komoditi dan nilai komoditinya sahaja. Tetapi amat berkait rapat dengan pembangunan modal insan, bagaimana untuk masyarakat mengembangkan pekerjaannya tanpa perlu melakukan dua pekerjaan yang berbeza seperti yang disarankan oleh kerajaan. Faktor kelebihan/kekurangan secara geografi adalah penting untuk diteliti, kerana pergerakan ekosistem ekonomi masyarakat seperti cara pemasaran dan hubungan jual-beli yang berlaku dalam masyarakat setempat amat penting dalam menjaga kestabilan dan pengukuhan ekonomi skala kecil. Kefahaman dan keterjelasan akan kesan baik/buruk sesuatu pekerjaan yang dilakukan itu terhadap persekitaran seperti kesihatan alam sekitar dan hubungan kemasyarakatan.

Selepas dasar dan ideologi itu menjadi jelas pandangannya terhadap pembangunan ekonomi asas dan telah dapat memenuhi keperluan harian masyarakat, pandangan ideologi itu juga perlu menitikberatkan hal-hal yang tidak berkaitan dengan ekonomi. Pandangan sesebuah dasar dan ideologi terhadap hal yang tidak memberi keuntungan dengan serta merta perlu menjadi ukuran baik buruknya sesebuah ideologi itu. Seperti perkahwinan, penghasilan karya, pendidikan, budaya, dan kajian, dan seumpamanya adalah perkara-perkara yang harus diutamakan oleh sesebuah ideologi kerana keberkesanan kehidupan masyarakat bukanlah bergantung kepada permintaan pasaran semata-mata, penghasilan komoditi semata-mata, nilai keuntungan semata-mata, atau sektor pekerjaan semata-mata. Tetapi keberkesanan itu ditentukan betapa pemimpin dan masyarakatnya mempunyai sebuah cara pandang yang jelas bagaimana nilai-nilai bukan ekonomi itu dapat berfungsi dalam memajukan masyarakat.

Jika dilihat pada sejarah pembangunan negara-negara Eropah, perbahasan tentang ideologi telah lama diperdebatkan dahulu sebelum bentuk-bentuk perlaksanaan pembangunan itu menjadi jelas dan dapat menentukan hala tuju pembangunannya. Tamadun Islam juga berada di zaman kegemilangannya apabila ada ilmuwan-ilmuwan yang membahaskan soal-soal ideologi, sistem pemikiran, sistem kepercayaan, soal falsafah, secara mendalam. Kuatnya tamadun Islam suatu ketika dahulu bukanlah disebabkan mereka rajin bersembahyang dan dengar ceramah sahaja, tetapi cara mereka menghargai ilmu-ilmu peradaban Timur dan Barat lebih menyumbang pembangunan tamadunnya.

Kita dapat melihat bagaimana masyarakat yang maju, tidak kira masyarakat sebelum ini atau masyarakat moden, tidak memandang remeh soal teori, seperti berteori ini tidak mendatangkan sebarang kemajuan malah memerangkap ahli fikir ke dalam mimpi-mimpi yang fantasi. Sedangkan masyarakat maju itu memandang teori sebagai asas terhadap perlaksanaan gerak kerja yang jelas dan pembangunan yang benar-benar bermatlamat.

 

4. Memanfaatkan fungsi sejarah

Yang terakhir, kita haruslah memanfaatkan ilmu sejarah bukan hanya sebagai imbuhan informasi semata-mata. Tetapi matapelajaran sejarah haruslah dapat berfungsi seperti matapelajaran sains yang dapat memimpin kita dalam berurusan dengan fenomena alam, seperti matapelajaran matematik yang mengajarkan sistem logika, seperti matapelajaran agama dan moral yang dapat mengajarkan masyarakat tentang etika dan hal-hal yang baik atau buruk, matapelajaran sejarah dan bagaimana kita melihat sejarah haruslah berfungsi seperti ilmu perubatan yang bertujuan untuk menjaga kesihatan dari sebarang penyakit yang dapat dikenalpasti.

Dalam melihat sejarah, selain dari pengukuhan fakta dan pertimbangan fakta tentang kejadian-kejadian yang lepas, kritikan haruslah diberikan terhadap sejarah itu sendiri. Mengambil contoh budaya, bukanlah bermaksud mengkritik tradisi itu bermaksud kita mengancam kewujudan tradisi dan mahu memadamkannya terus dari sejarah. Atau sebagai bentuk penafian terhadap adanya tradisi dahulu. Tetapi lebih untuk melihat kelemahan yang ada di sekitar peribadi dan persekitaran kita untuk dijangkaui dan diperkemas. Ini yang tentunya bukan bertujuan untuk menganggap dasar peribadi ini adalah satu kesalahan, tetapi sedang dijangkiti permasalahan yang harus diubati. Masyarakat itu haruslah berani untuk mengkritik sejarah sendiri, mempersoalkan sejarah sendiri, semak kembali dasar-dasar perlembagaan, semuanya untuk memastikan generasi akan datang dapat lebih memahami kenapa dan bagaimana keadaan mereka jadi sepertimana mereka nanti.

Janganlah dasar itu membuatkan kita seperti mengendong gunung di bahu, yang membuatkan langkah menjadi kaku, dan akhirnya kita tersembam dihempap beban  yang pada dasarnya kita tidak perlu pikul. Kritikan yang dilakukan terhadap sejarah sendiri itu sebenarnya adalah satu proses pembersihan sejarah dari kekeliruan dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang dalam bentuk yang lebih jelas dan adil. Tidaklah kita jadi seperti Melaka, bandar bersejarah yang hanya memperjajakan sejarah kedatangan Portugis, yang membangga-banggakan kesan kolonialisme, yang memelihara dengan bersemangat akan bangunan-bangunan dan kapal-kapal yang dibangunkan oleh penjajah, tetapi entah di mana untuk melihat monumen replika  kapal masyarakat Melayu yang tamadunnya maju di dalam bidang maritim.

Dalam hal sejarah ini juga, ahli sejarah perlu jelas untuk melakukan penyemakan semula (post-moterm), kerana dari penyemakan semula ini kita akan dapat mengetahui apa yang boleh diperlakukan di masa hadapan, termasuk waktu sekarang. Malah, kesan dari sesebuah dasar itu hanya dapat dilihat dalam jangka panjang. Hari ini adalah kesan dari dasar yang dibentuk beberapa puluh tahun lalu. Maka, melalui penyemakan semula akan sejarah juga kita akan dapat menjangkakan kajian-kejadian penting yang akan berlaku di masa hadapan. Maka, dengan melihat sejarah pergerakan masyarakat, dapat mengajar kita untuk menyusun semula pergerakan dan perkembangan masyarakat. Kerana apa yang digerakkan oleh masyarakat dan pemimpin sekarang akan menentukan bagaimana kita dalam puluhan tahun lagi.

Dengan itu, tanpa dasar dan ideologi yang jelas dalam membangunkan sesebuah masyarakat, perkembangan dan proses yang berlaku di dalam masyarakat akan menjadi kabur dan tidak tentu arah. Sekejap akan mahukan itu sekejap akan mahukan ini, dan akan terlalu bergantung terhadap kemajuan negara luar kerana tidak jelas hala tuju yang ingin dicapainya. Budaya meniru-niru akan mendapat tempat istimewa di kalangan pemimpin dan masyarakat kebanyakan. Budaya meniru-niru ini bukanlah merujuk kepada peniruan di dalam proses pembelajaran, kerana sememangnya manusia itu akan mula belajar melalui ikut-ikutan dan percubaan meniru. Tetapi meniru-niru di sini merujuk kepada kegagalan pemimpin untuk membangunkan negara dan masyarakat melalui pertimbangan yang sihat, jelas, dan bijak dalam menggerakkan segala potensi yang ada di persekitarannya negara dan masyarakatnya. Kalau meniru saja, nak pergi mana? Sedangkan masyarakatnya mempunyai kebolehan, kesenian, tradisi, dan kemampuan yang masih jarang ditemui di negara-negara dunia, bagaimana untuk meniru? Kita juga harus mula mencipta. Jika kemajuan masyarakat diletakkan terhadap kemajuan negara lain seperti Jepun, bukanlah masyarakat kita tidak akan berkembang sepertimana masyarakat Jepun, tetapi pembangunan yang tidak terlebih dahulu mengutamakan faktor persekitaran tempatan, adalah pembangunan yang tidak jelas.

S.H Alatas melihat pendekatan Islam dalam pembangunan masyarakat, yang mana pertama sekali perubahan itu berlaku secara dalaman dahulu barulah perubahan terjadi secara luaran. Seperti perubahan di hati dan fikiran individu, menentukan perubahan sistem dan perubahan masyarakat. Bermakna, sebelum sesebuah pemimpin yang korup itu dapat dijatuhkan oleh kuasa masyarakat, rampasan kuasa haruslah terjadi dahulu di dalam diri setiap ahli masyarakatnya. Rampasan kuasa dari sifat-sifat tamak, kepada sifat bersederhana dan saling berkongsi. Dari sifat penyeleweng, kepada sifat kejujuran. Rampasan kuasa dari sikap-sikap kebodohan, sambil lewa, kepada sikap-sikap kebijakan, dan membentuk prinsip hidup yang teguh. Maka, sebelum pemimpin yang bersifat tirani itu dijatuhkan, sifat tirani yang mendiami ahli masyarakatnya haruslah dijatuhkan terlebih dahulu. Hal ini bersifat spiritual, atau boleh dikatakan juga membersihkan psikologi individu dari perkara negatif.

 

Oleh: Iltizam Iman Abd Jalil

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s